Posted On May 27, 2010
|
Baru-baru ini, saya menulis rencana bertajuk Bisnes Satu Peperangan yang menghuraikan bagaimana ‘peperangan’ moden hari ini tidak lagi mengguna senjata seperti pedang, senapang dan meriam. Musuh hari ini juga tidak semestinya datang menyerang dengan nyata secara langsung dari depan.
Sebahagiannya tidak kita kenali. Mereka boleh menewaskan dan menjajah kita secara lembut tanpa kita sedari. Kadang kala terdapat situasi kita sendiri rela mengizinkan musuh dengan mudah menjajahi minda dan jiwa akibat daripada tindakan kita sendiri.
Penjajahan abad ke 21 boleh menjelma daripada dua punca utama. Pertama, setelah kita begitu lama dijajah sebelum ini, masih terdapat di kalangan kita yang mewarisi ciri-ciri minda dan pandangan hidup saki-baki peninggalan penjajah. Kedua, penjajahan corak baru akibat bersengkokol kita dengan sistem ekonomi dunia yang diperkenal dan dicorakkan oleh bekas penjajah, atau penerimaan mudah oleh kita terhadap sistem ekonomi sejagat dan budaya yang dibentuk atau dianjur oleh mereka. Inilah yang lebih berbahaya.
Fenomena ini boleh kita ibaratkan seumpama pengalaman hidup gajah sarkas.
Sekalipun secara fitrah gagah perkasa, gajah sarkas cuma perlu diikat dengan tali atau rantai kecil yang mudah sekali diputuskan. Apapun, tidak terlintas di fikiran gajah sarkas untuk membebaskan diri dan merentap sehingga putus rantai kecil itu. Sehinggakan anak-cucu gajah sarkas yang dilahir dan dibesarkan dalam kandang sarkas juga tidak menyedari kekuatan semulajadi yang dimiliki keturunannya.
Tali atau rantai kecil itu menjadi simbol hilangnya kekuatan dan kegagahan gajah serta kebergantungannya kepada kehidupan di bawah tajaan pemilik sarkas. Ia dipaksa menggembirakan hati peminat sarkas kemudian dirantai kembali. Pemilik sarkas pula menghitung untung.
Inilah senario yang sebenarnya boleh menjadi kenyataan hidup kalau kita terus jumud dan tidak bertindak membela dan memperbaharui nasib diri dan bangsa. Bahayanya, ramai dari kalangan kita sekalipun sudah lama merdeka, tetapi minda dan jiwa seolah-olah masih diikat dengan tali dan rantai kecil yang serupa. Mungkin di sini puncanya ramai yang menggadai hak dan kepentingan dengan harga murah. Saham, lesen, permit, warisan tanah rizab Melayu dan Bumiputera dipertaruh sewenangnya. Ramai juga yang hilang akal setelah silau melihat harta kekayaan, lalu lupakan maruah dan harga diri.
Justeru, warisan pemikiran lapuk dan jumud terus-menerus dipanjangkan, termasuk di peringkat atasan dan kepimpinan, iaitu golongan yang diharapkan membawa perubahan dan pembaharuan. Sebagai contoh, hari ini kita berazam menjayakan konsep ekonomi dipacu ilmu pengetahuan atau ‘knowledge-driven’ dan ‘technology-driven’. Namun, hingga ke hari ini hampir di semua organisasi, baik kerajaan mahupun swasta, semua warga kerja kita masih dipanggil ‘kakitangan’ dan semua orang bawahan ‘dikakitangankan’. Apakah kakitangan yang ‘tidak berkepala’, justeru tidak berotak dan berdaya fikir, berupaya menjayakan sistem ekonomi yang dipacu ilmu pengetahuan dan teknologi canggih?
Inilah satu contoh tali dan rantai kecil yang masih mengikat minda dan jiwa ramai di kalangan kita. Daripada perspektif sejarah saya percaya kita telah ‘dikakitangankan’ pada mulanya oleh orang putih ‘pemilik sarkas’ yang pernah menjajah kita dulu. Mereka sengaja tidak mahukan kita berdaya fikir, supaya mudah mereka menundukkan dan menguasai kita. Namun, setelah lebih 50 tahun merdeka, kenapa kaedah penjajahan ini masih lagi kita gunakan? Kenapa kita sendiri masih mengkakitangankan anak-cucu, adik-beradik serta saudara-mara kita sendiri? Apakah ada di kalangan kita yang kini menjadi pemilik sarkas baru yang mahukan supaya rantai kecil terus menerus digunakan untuk mengikat pemikiran dan minda kepada segala yang lapuk dan jumud?
Teringat saya kata-kata Eleanor Roosevelt: “Tiada siapa dapat membuatkan kamu berasa rendah diri tanpa kerelaan kamu sendiri” (No one can make you feel inferior without your consent).
Sesungguhnya hari ini kita berdepan dengan penjajahan bercorak baru oleh ‘pemilik sarkas’ yang menguasai ekonomi dunia. Kuasa ekonomi negara masih berada di tangan negara maju yang pernah menjadi bangsa penjajah. Contohnya, hingga 80 peratus makanan dan produk halal yang digunakan umat Islam di Malaysia dibekal dan dijual oleh beberapa syarikat korporat multinasional (MNC) yang beribu pejabat di Eropah dan Amerika Syarikat.
Kaedah penguasaan dan penaklukan pasaran milik kita kali ini dijayakan dengan menggunakan senjata penjajahan bercorak baru, misalnya menerusi jenama global, kaedah dan teknologi proses serta kuasa pelesenan, jaringan bisnes yang memihak kepada negara maju, francais, hak cipta dan hak ke atas harta intelek, kuasa organisasi besar yang ada pada mereka serta akses kepada sumber modal global yang juga memihak kepada mereka. Sudah tentu mereka yang menguasai bisnes dan memegang kunci bahagian terbesar harta kekayaan dunia mempunyai kelebihan dalam peperangan ini.
Justeru, tidak hairan sekiranya beberapa bisnes strategik negara membangun seperti Malaysia hari ini masih dikuasai MNC milik negara dan bangsa asing yang kaya dan perkasa. MNC seperti ini adalah antara pewaris dan pemilik sarkas global. Beberapa di antara mereka masih bercita-cita untuk terus menjadikan seluruh dunia permainan sarkas di bawah dominasi mereka.
Satu contoh dominasi boleh dilihat daripada jenama produk atau khidmat yang dilindungi undang-undang. Kawalan mereka terhadap produk dengan jenama global perkasa semakin mengurangkan pilihan bagi pengguna Malaysia dan negara membangun lain. Tambahan pula dengan sumber kewangan besar yang digunakan untuk mempromosi dan mengiklankan produk mereka. Sehinggakan gaya hidup kita semua hampir keseluruhannya dipengaruhi oleh apa yang mereka tawarkan di pasaran. Justeru kita lihat minuman kola dan makanan segera Amerika, misalnya, semakin mendominasi pasaran dan mempengaruhi kehidupan.
Makanan dan minuman tradisi seperti nasi lemak, pisang goreng dan kuih semakin dilupakan dan diambil alih oleh burger, kentang goreng dan piza berkeju. Apa yang lebih berbahaya ialah apabila nilai dan gaya hidup mereka turut menjangkiti kita. Ini jelas dilihat apabila negara Islam semakin menyaksikan umat mereka bersikap melampau individualistik, hedonistik, materialistik, semakin rakus dan nafsu-nafsi.
Perhatikan bahawa niat dan matlamat MNC dengan sokongan pemerintahan kerajaan mereka banyak yang mirip kepada keinginan menjajah dan mendominasi semula. Atas dasar ini banyak negara yang lemah cuba dijajah semula dengan kekerasan, seperti Iraq, semata-mata untuk merampas kekayaan minyak negara itu.
Beberapa negara Islam lain, sama ada yang kaya mahupun yang lemah ekonominya dikuasai tanpa sebarang kekerasan. Dengan menggunakan kuasa politik atau subsidi, mereka semua terpaksa tunduk kepada arahan pemilik sarkas baru abad ke 21. Setelah peperangan terbuka tidak lagi dapat dilakukan berleluasa, mereka menggunakan kuasa ekonomi, bisnes dan korporat sebagai strategi dalam peperangan secara aman.
Dalam perang bisnes dan korporat, wang, harta, modal dan pelaburan semuanya digunakan sebagai senjata utama. Matlamat kemenangan yang dicita-citakan pula adalah nilai jualan serta penaklukan ‘wilayah’ dalam bentuk dominasi pasaran. Sudah menjadi lumrah dan adat peperangan, mereka yang berkuasa dan menang dalam mana-mana ‘peperangan’ akan meletakkan ‘panji-panji’. Dalam peperangan bisnes, bendera dan panji-panji jenama global mereka akan dikibarkan di tempat yang paling tinggi hingga tidak lagi mampu digugat pesaing.
Pada pandangan saya, untuk menang dalam peperangan abad ke 21 ini, iaitu peperangan berteraskan bisnes, Melayu-Muslim perlu menggali kembali sumber motivasi yang dapat memberikan kekuatan dan memberikan semangat luar biasa. Pertama, kita perlu segera musnahkan rantai kecil yang mengikat jiwa dan minda. Setelah itu, perlu ditiup api semangat bangsa yang berdarah pahlawan dan umat bernadikan jihad.
Antaranya, semangat Raja Haji ketika menentang Portugis di Melaka dan Panglima Salleh yang bangkit menentang Bintang Tiga selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua (sebelum British kembali memerintah). Demikian juga semangat juang yang ditunjukkan oleh anggota Polis Bukit Kepong, Muar yang berjuang hingga terkorban jiwa dan raga. Lebih menyentuh hati apabila semangat kepahlawanan kalangan isteri anggota Polis terbabit yang turut sanggup menggalas senjata berjuang lebih-lebih lagi setelah melihat suami tercinta gugur di medan perjuangan.
Namun, bagi peperangan dalam aman hari ini, kita perlukan barisan pejuang bangsa dan mujahid bisnes baru. Kita perlu kedepankan ahli bisnes, eksekutif korporat dan wira-wira CEO Melayu-Muslim berjiwa besar, berjatidiri dan keras pegangannya kepada prinsip hidup berteraskan nilai-nilai utama agama dan bangsa.
Malangnya ramai CEO dan ahli korporat Melayu-Muslim berebut meniru kaedah bisnes dan gaya pengurusan pemilik sarkas lama secara bulat-bulat. Apa yang dibimbangkan, terdapat di kalangan mereka yang masih tebal warisan minda gajah sarkas, ghairah ‘mengkakitangankan’ orang bawahan, langsung terlupa tanggungjawab, amanah dan kewajipan. Kesannya, ramai yang terlupa di mana letaknya kekuatan sebenar dirinya dan ghairah meneruskan warisan aksi sarkas berteraskan nada dan lagu yang dialunkan oleh pemilik sarkas yang sememangnya berniat untuk mendominasi minda dan jiwa, mengkhayalkan serta menutup mata hati kita daripada menyedari siapa kita sebenarnya.
Kini telah tiba masanya cucu-cicit ‘gajah sarkas’ membebaskan diri dengan mengenali jatidiri dan fitrah mereka sendiri. Telah tiba masanya ‘rantai-rantai kecil gajah sarkas’ yang merendahkan martabat dan maruah digantikan dengan pegangan kepada ‘Tali Allah’ yang memberi kita kekuatan dan keperkasaan luar biasa. Barisan mujahid bisnes di abad 21 wajib menggantikan jiwa kecil warisan zaman lemah sebelum ini dengan semangat jihad berlandaskan perjuangan untuk kembali kepada darjat umat terbaik dan khalifah, sekurang-kurangnya di bidang ekonomi di dunia.
Muhammad Ali26 Mei, 2010.